Brown Recliner and Pastel Bedsheet

10.0 Harapanku

Posted by: afiq syarifuddin on: February 2, 2009

Harapan bisa jadi kenyataan. Ini bukan kata-kata dia yang tak pernah melihat dunia, tetapi dia yang sudah mula membenam tapak di dunia. Apabila diri sudah mula percaya, maka hati suci akan bangkit membina harapan. Pengembaraan terus ke hadapan untuk mencari ketentuan. Sama ada harapan ini istana pasir atau istana batu, bergantung pada kekuatan rasa percaya yang dicanang hebat sebelum ini. Begitulah pentingnya percaya. Begitulah kuatnya percaya. Maka, atas kepentingan dan kekuatan inilah kepercayaan boleh musnah dihempas tsunami dan ditiup taufan. Hati-hati kata bintang utara buah mata sang pengemudi bahtera. Sang pengemudi melontar janji:

Harapanku atas diriku ialah untuk menjadi lebih baik. Bisa jadi lebih matang dan tidak mudah melatah bila kedamaian diri dikacau. Matang bukan dari segi rupa, tetapi dari akal fikiran dan hati yang cekal menghadapi bisa mulut orang yang tiada makna. Tidak mudah melatah apabila hanya melihat dan bermain imaginasi, kerana satu suasana mungkin ada pelbagai jalan cerita. Bukan maksudku, akan terus terima sahaja bagai tak tahu baik dan buruk. Tetapi memberi masa dalam membina percaya. Tambah lagi, harapanku untuk bangun dan berdiri bagai lelaki perkasa. Punya hak atas satu yang dipunya. Punya masa depan bersama dimatanya. Punya sayang pada perawan hatinya. Akan tegak berdiri menghadapi ganggu dan kacau yang datang dari entah mana. Tidak tunduk dan melutut, takut menyatakan mahunya. Dan tidak mudah merasa ragu dan sangsi pada hati dia yang percaya pada diri. Tidak buta dengan rasa hitam di hati mendengar suara halus sang perasuk membina cemburu di dada. Ya, harapan atas diri adalah untuk menjadi lebih baik dan menjadi lelaki perkasa. Buat engkau, berlian biru hati.

Darimu ku mahu satu. Hanya setia. Bukan hanya pada kata, kosong terbang ditiup angin tinggi ke awan. Dan bukan hanya dari dakwat hitam. Tulisan indah berjela, yang mungkin juga makna tiada. Tetapi dari buah mulut bicara yang datang tulus dari hati. Perlakuan indah dalam perjalanan hidup suci yang sentiasa ingat padaku. Hati teguh bagai perisai, menangkis rasa lontaran si genggis yang bisa buat binasa.

Aku mahu jadi pengemudi bahtera, kau mahu ikut aku?

9.0 Terima Dia Bukan Tukar Dia

Posted by: afiq syarifuddin on: February 1, 2009

Aku dalam kekeliruan hari ini. Dalam kegembiraan, aku kerisauan. Dalam gelak tawa, aku berfikir dalam. Dalam gurau senda, hatiku gelisah. Aku mahu dia sentiasa bersama aku, itu pasti. Aku mahu dia sentiasa kelihatan sihat, gembira di depanku. Aku mahu kegembiraan yang terpancar punya kelibat dan roh aku disisinya. Ya, aku seorang yang pentingkan diri. Bukan ini salah satu pencapaian cinta; membuatkan kita mahu semuanya dan lebih daripada si dia perawan hati.

Ya, dalam setiap keberanian aku punya ketakutan. Yang perlu kamu semua ketahui: aku tak takut mengakui yang aku takut. Tiada salah untuk mengaku, tetapi persoalannya apa yang boleh dilakukan? Apakah dalam ketakutan cinta kita akan layu dan mati. Atau adakah cinta berjaya tempuhinya dengan kemudi berani dan layar hebat.

Dari fikiran cetekku, aku rasa penerimaan adalah langkah utama yang penuh makna. Untuk terima yang segalanya tidak semestinya seperti perancangan kita. Untuk terima yang apabila sesuatu berlaku yang ia berlaku dangan makna. Bukan labu sayung kosong tetapi kelapa muda yang punya isi. Segala yang dia mahu mungkin juga tidak sedekat dengan kemahuan kita, tetapi itu tidak punya asas untuk ditukar. Sekadar menuruti kehendak kita, sekadar mengikut kemahuan kita.

Ruang harus diberikan. Untuk kemajuan dan pembangunan diri. Ruang wajib ada agar kita tahu yang disebalik segala yang merpati dua lakukan bersama, dua merpati tetap dua merpati. Perlu punya kaki, perlu punya kudrat. Supaya tidak mudah jatuh hanya kerna badai. Tidak jatuh hanya kerna penjahat.

Maka, yang asas dan pokok adalah untuk percaya. Harus belajar untuk ini. Harus berdiri untuk ini. Kerana, atas nilai diri sendiri dan dia yang dicintai : kepercayaan adalah tembok tinggi yang akan menghalang sang serigala dan buaya.

8.0 Kataku Untukmu

Posted by: afiq syarifuddin on: January 31, 2009

Perbualan panjang selalunya membantu kita mengenali kedalaman sesorang itu. Mampu dia berfikir jauh dan mampukah dia berfikir keluar? Kita juga akan ketahui sama ada dia punya hati ketika berkata-kata atau dia hanya punya kata-kata yang boleh terbang ke langit bagai tiada ikatan. Mungkin juga  jika kita sudah sampai tahap dan masanya, kita akan berjaya kenali kesucian dan ketulusan hati si dia yang sedang melontar kata-kata.

Kadang ada juga tertanya: adakah segala yang ku kata sampai ke hati dia? kita tak mungkin tahu yang sebenarnya. Mungkin saja dia tidak mendengar sepenuhnya. Mungkin bukan salah dia, kita laju berkata sampai lupa yang otak perlu juga masa memproses. Mungkin juga, dia tak mahu mendengar dulu. Kerana ada kalanya kita katakan sesuatu yang sungguh berat dan belum mampu dia terima dan dalami. Mungkin juga, ada kisah silam yang sentiasa menghentam segala kata kita bagai ia pesisir pantai yang tak punya bentuk.

Jangan takut arjuna. Jangan takut. Tidak lelaki kalau engkau mengalah dulu. Kata-kata walau dikata tajam seperti tombak, tak punya rupa bagai tombak. Ia sebenarnya, pada dia sang pencinta, satu kain lembut yang menyelaputi hati si gadis perawan. Melindungi dia dari rasa takut, yang akan sentiasa hadir. Kerana dunia ini bukan segi empat tetapi bulat. Memberi dia kekuatan, apabila dia selalu jatuh. Kerana alam ini punya banyak tunggul yang dirahsiakan dari penglihatan. Memberi dia makanan hati, apabila dia memerlukan. Kerana dia wanita yang diciptakan buat lelaki.

Semoga kau, sentiasa percaya yang masih banyak di depan kita yang ingin kutunjukkan. Bahawa, kata-kataku untukmu adalah satu yang  akan sentiasa menyelimutimu…

7.0 Kisah Cinta Peribadi

Posted by: afiq syarifuddin on: January 30, 2009

Hari ini aku bertemu cinta. Ya, setelah puas menerangkan segala fudamental dari cetek fikiranku. Aku kini sudah bersedia untuk bercerita tentang cinta hatiku kini. Setelah kuletak, kusimpan, ku kunci, ku tinggalkan masa silamku. Rasa lemah, amarah, lenguh, lebam dan luka hatiku, semua telah kuletak sebagai panduan. Semua kulakukan kerana hati sudah jatuh pada dia.

aku: awak sudah jatuh cinta pada saya?

dia: sudah..tetapi tidak tahu bila.

aku: saya juga sudah jatuh cinta pada awak. bila sebenarnya, tidak pasti.

Gembira rasa hati, bila punya dia yang menyayangi. Bila dia rasa memerlukan. Bila dia cari aku, untuk semuanya. Ya, lelaki suka berkuasa. Suka punya tenaga. Sekurang-kurangnya buat dia yang disayangi. Aku suka  dia punya mulut tidak henti menghiburkan hatiku dengan ceriteranya. Aku suka ada pendengar yang setia buat segala keluh kesah ku. Aku suka dia punya rasa hormat; pada diri, pada aku dan pada yang disekeliling.

Bukan niatku untuk mengecat dia bagai satu potret yang tiada cacat cela. Mana mungkin manusia bisa tiada kekurangan dan kejanggalan. Manusia sempurna perlu punya ruang untuk menjadi silap dan berevolusi menjadi yang lebih baik. Bahkan aku, juga tidak lari daripada kelebihan ini. Aku punya perasaan yang lemah. Mudah kacau dengan sebarang gangguan. Aku amat menghormati kefahaman dia atas kekurangan ini.

Biar ku simpan lagi untuk esok. Mungkin kamu semua minat mendalami rasa hati aku?

6.0 Jatuh Bukan Untuk Tersungkur

Posted by: afiq syarifuddin on: January 29, 2009

Sebenarnya, jatuh cinta bukan satu yang mudah. Apa lagi jika sebelum jatuh, kita sudah jatuh terduduk. Kesakitan dalam kejatuhan. Kadang kala, hati sudah tidak percaya pada perasaan yang datang ini. Bagai ia satu penipuan hati untukhanya merasai diri disayangi. Tapi adakah benar perasaan ini, atau ia hanya kita dalam penipuan diri dan lupa akan yang sebenarnya pasti.

Kalau ini yang dirasai, maka perlu kita berlari. Pergi ke arah dia yang menyayangi. Mungkin bukan si dia, tidak perlu semestinya rasa cinta hadir dari si dia. Cuma perlu bagi kesihatan diri, untuk sentiasa rasa disayangi. Cara ini mungkin sukar. Tidak mudah, terutama bagi kita yang sudah lama hidup dalam kebergantungan pada si dia yang dulu. Tetapi, jangan takut. Kita perlu punya kekuatan diri. Kerana, hidup mesti terus dalam pelayaran dan bukan di pelabuhan. Bagai kapal tinggal di limbungan.

Kekuatan ini datang bukan dari sekeliling. Bukan datang dari mulut becok yang tak punya hati. Bukan datang dari talam dua muka, berkata indah hanya atas kepentingan diri. Bukan hadir dari dia yang meninggalkan. Bukan tinggal akibat dari ditinggalkan. Ia hadir atas diri sendiri. Ia hadir dari kepercayaan. Ia hadir dari hati. Ia hadir untuk diberi dan bukan untuk dipnjamkan.

Mampu untuk beri rasa setinggi ini? Atau hanya mampu untuk sedapkan hati?

5.0 Percaya Maka Punya Makna

Posted by: afiq syarifuddin on: January 28, 2009

menghadapi segala di depan kita.

Pada mulanya kita semua adalah bayi yang tidak punya warna di kain kehidupan. Tidak bersedia dengan pengalaman untuk mengatasi sesuatu permasalahan dengan penuh akal. Tetapi buat yang tetap hati langkah dibuat dengan penuh percaya. Buat yang buta hati langkah dibuat tanpa bersedia apa didepannya.

Pertama, dan yang terutama, kita mesti mahu percaya. Percaya yang masa depan itu ada. Pemilik cinta mesti tiada ragu yang perasaannya akan mampu menghadapi badai dan angin lintang. Harus juga percaya yang si dia juga percaya. Harus juga percaya yang dunia ini sebenarnya bukan memusuhi kita. Harus juga percaya yang di depan ada masa depan untuk diri berdua.

Kadang kala akan punya rasa hitam menyelaputi diri. Rasa yang ada yang menggangu keamanan diri. Ini hal biasa. Kata-kata bisa mengubatnya. Luahan rasa ini penting buat keduanya. Ia akan menunjuk betapa mahunya antara dua merpati hati. Ia juga bisa tunjukkan sama ada dia sama seperti yang kita rasa.

Keinginan harus utuh. Kemahuan harus pasti. Biar apa yang hadir kita akan mampu hadapinya.

4.0 Perjuangan Yang Kita Mahu

Posted by: afiq syarifuddin on: January 27, 2009

kesukaran dan halangan yang bakal ditimpa cinta.

Tiada indahnya pengembaraan jika tidak punya halangan. Kesukaran ini yang membuat sesuatu perjalanan sentiasa alam ingatan dan memori yang terukir di akal dan sanubari. Begitu juga cinta, tanpa kesukaran dan halangan maka tidak layak ia dipanggil cinta. Mungkin juga boleh, tetapi hanya ke tahap cinta submissive. Bukan cinta agung yang di war-war kan tetapi cinta lemah yang diteriakkan. Kerana  pada saya, tanpa semua ini cinta hanya lima huruf digunakan sang pemberi yang ingin membuat dirinya percaya akan cinta yang ingin diberi.

Kesukaran yang bisa dihadapi banyak bentuknya. Boleh saja datang dari ketidakupayaan untuk berkomunikasi kehendak. Mungkin kemahuan kita tak sama sama dengan kemahuan dia. Mungkin kita letakkan taraf cinta mengatasi dia. Mungkin dia tak upaya beri sepenuhnya. Mungkin dia tidak faham betapa perlu kita untuk percaya. Segala ini senang muncul di depan sang pencinta. Rasa ini hadir tanpa dijemput. Inilah dinding pertama buat cinta. Apa ini semua? inilah dinding yang dikatakan pemilih yang mahu antara yang tidak benar-benar mahu. Dinding licik yang boleh mengurangkan pembodohan diri dan penipuan keatas diri. Ia bisa keluarkan dari diri dia yang didepan mata, siapa sebenarnya dia.

Halangan juga hadir untuk memeriahkan suasana. Halangan masa, tempat kita berpijak, hentaman sosial di depan kita dan segalanya yang dilontar minda goyah dan lemah diri kita. Ya, minda kita yang begitu kompleks ini juga boleh dan mampu memanipulasi segalanya biar kita terleka bahawa ada yang lebih penting dari halangan didepan mata. Kita memang lemah. Bagaimana mungkin kita hadapi perlawanan dua hala antara diri sendiri. Ada kebarangkaliannya yang kita sebenarnya akan jadi gila.

Seterusnya, yang hadir adalah menghadapi segala di depan kita. Bertemu lagi kita?

3.0 Fahami Pelbagai Erti

Posted by: afiq syarifuddin on: January 26, 2009

mencari bagaimana cinta diberi dan membuat pemberian cinta

Langkah perlu terus gagah. Kita perlu sematkan di dada yang cinta tidak datang pada kita bagai tawanan lesu atau bagai kupu-kupu malam yang mencari kehidupan. Cinta ialah kurniaan dari sang pemberi dan satu hadiah istimewa buat seorang penerima. Tidak molek jika ia diberi bagai punya harga dalam ringgit dan tidak anggun jika diletakkan nilai yang tertinggi bagai bongkak sukar dimiliki.

Cinta diberi apabila hati sudah mula merasai. Bagaimana kosong jiwa tanpa satu zarah dia. Bagaimana gembira apabila terlihat dia. Bagaimana perlu kerana ia dia. Tidak mungkin rasa sebegini bisa hadir jika dipaksa. Jika ditolak olah peminta dengan duniawi harta dunia. Tidak mungkin ia hadir tanpa kata-kata pengukuh suasana. Tidak mungkin ia lahir tanpa percaya yang kita sudah jumpa dia.

Maka, penerimaan harus juga setaraf dengan pemberian rasa ini. Jika tidak ia hanya bagai pukat ditebar di tasik yang sudah lama dituba. Kosong dan tidak punya sebarang hasil yang bisa mengenyangkan kehendak dan perasaan. Tidak boleh juga jika penerimaan mengatasi pemberian, mengharapkan tinggi melangit walau yang diberi baru satu lonjakan anak. Perlu bersedia untuk memahami dan mengerti, yang tidak semua boleh senang terus sahaja. Perlu usaha membezakan dia yang benar-benar mahu daripada dia yang hanya mahu.

Oleh itu, dalam membuat pemberian perlu punya harga diri. Tidak sewenang-wenang diberi bagai ia rasa yang hanya biasa. Perlu punya keangkuhan yang percaya yang terbaik untuk kita, baru layak menerimanya. Tidaklah memberi terus kerana dia pertama meminta. Tidak memberi terus kerana dia yang terindah. Tiada salah engan cinta pandang pertama, tetapi cinta ini perlu dibina semula dengan asas pengenalan yang lebih dalam konkritnya. Supaya setiap yang diberi punya harga : yang kita percaya pada nilainya.

Seterusnya, pengembaraan terus kearah kesukaran dan halangan yang bakal ditimpa cinta.terus maju kita?

2.0 Penerokaan Lantai Baru.

Posted by: afiq syarifuddin on: January 25, 2009

Setelah menetapkan parameter diri terhadap buah perbincangan, maka elok dimulakan penerokaan rasa. Supaya satu perjalanan akan punya makna dan bukan suatu yang sia-sia. Mengapa? Ya, mengapa perlu rasa cinta?

Bagi yang punya hati yang tulus dan mulus, suci dari kebencian kesumat dandendam membara. Bagi orang sebegini maka senang, tanpa perlu di dolak dalih lagi – cinta itu sudah ada dalam hati. Ia bagai suatu yang sudah senantiasa ada sejak azali. Tiada penjelasan bila ia wujud. Tiada pembuktian bagaimana ia kekal. Walaupun begitu, tidaklah bermakna bagi dia yang punya sifat bertentangan – tidak punya cinta di hati. Cuma rasa ini mungkin telah dicairkan dengan perasaan hitam yang menggelapkan jiwa dan akal.

Perlunya rasa cinta merupakan sebab mengapa manusia, secara keseluruhannya, tidak mampu kekal hidup sendirian. Keperluan yang bukan satu kebendaan ini hadir atas rasa memerlukan antara satu dengan yang lain. Dari rasa kebergantungan ini, diri akan mula merasa senang dan tenang bersama dia yang dicinta. Jiwa menjadi terang dan bisa juga pasti menghadapi persoalan yang mendatang. Ketidaksendirian ini merupakan satu jenis kekuatan yang semua mahukan, yang semua cari, yang semua pasti akan dapat memiliki. Maka, cinta hadir. Memberikan sebab kepada sang pujangga yang merayau di malam dingin mencari lailanya.

Tetapi bukan maksud bahawa cinta hanya akan hadir dari rasa kebergantungan, kerana seperti pendefinisian yang telah dibuat, cinta bukan kuda jinak yang boleh ditambat. Ia suatu yang liar dan semulajadi. Hadir tanpa disuruh dan kadang kala,walau sudah dipujuk rayu, pergi tanpa belas.Tidak puas hati mungkin, tetapi sang penabur kata perlu rasa ini untuk teruskan hidupnya. Kerana, tanpa rasa cinta, diri akan mula mereput hati menjadi kosong. Jadi, tidak mungkin terus-menerus dibiarkan. Cinta akan terus dicari untuk elak reput hati.

Sebenarnya, kita semua akan sentiasa cuba menjadi pengikut sedia pada cinta. Kerana, azalinya kehidupan manusia berpaksikan pegangan. Disamping percaya pada agama yang menjadi matahari hidup, cinta juga memberi satu hala tuju dan satu kepercayaan yang boleh dituruti (walau ia bukan suatu yang nyata).

Esok kita akan maju berjalan mencari bagaimana cinta diberi dan membuat pemberian cinta. Mampu kita terus gagah berjalan?

1.0 Langkah yang Pertama

Posted by: afiq syarifuddin on: January 24, 2009

Cinta…..pada aku bukan hanya sekadar kata. Bukan sebutan sang remaja buat si gadis yg belum berbunga sepenuhnya. Bukan hanya kata yang menjanjikan si teruna sepenuh hati si gadis bila dia ulangi bagai kata keramat. Bukan penamat pertengkaran, walau bagai hanya penyejuk hati biar si dia diam. Bukan segala diatas tetapi segalanya yang teratas.

Rasa ini perlu hadir dengan setulus hati. Sepenuh tenaga yang pasti. Ia harus jadi kata sang remaja yang percaya. Sang remaja yang percaya sepenuhnya si gadis akan menjadi bunga mekar, mengharumkan suasana. Kata cinta hanya patut diluah bila sudah pasti bahawa kita sudah punya hati untuk diberi janji, menerima janji itu patut ditepati tetapi bersedia hadapi bahawa janji juga bisa gagal dilunas. Sedemikian itu, perlu juga pasti bahawa kata cinta tidak menyelesaikan dan menutupi satu suasana.Jika tersilap percaturan kata ini mungkin mati, kerana salah ertinya membawa makna bahawa hati tidak upaya memberinya tenaga.

Sesungguhnya ia rasa  yang agung dan punya masa depan yang tersendiri. Bahawa ia tidak boleh dikawal tetapi boleh didewasakan. Bahawa ia bukan rasa yang sejuk menyegarkan, tetapi hangat menenangkan. Walau yang mendatang penuh permasalahan dan situasi, ia bagai tiang pasak punca tenaga buat sang pencinta yang percaya. Bukan ditulis janji dengan darah,tetapi janji yang punya darah. Hidup bernyawa, terus bernafas selagi semua berusaha. Biar dia berdua, jiwa bercinta, sentiasa dalam rasa yang selamat dan penuh kepercayaan yang di depan ada masa hadapan.

Ini pendefinisian satu hala, satu akal, satu hati aku tentang rasa cinta. Kemudian akan mendatang esok : mengapa perlu rasa cinta.

Coming Days

February 2010
M T W T F S S
« Feb    
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728

Youth Says

Facebook

Afiq Syarifuddin Ahmad Nazari's Facebook profile